Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie yang meninggal dunia semalam disemadikan di Makam Pahlawan di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini kira-kira jam 2.30 petang tadi. Menyorot kembali penglibatan Allahyarham dalam dunia politik bermula dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 sebelum memasuki UMNO. Pada tahun 1958 beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik UMNO sehingga 1978 dan pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan merupakan Naib Presiden UMNO pada 1981.
Sumbangan Allahyarham dalam pembangunan dan kemajuan negara sememangnya tidak dapat dinafikan termasuklah melalui perkhidmatannya dalam kabinet yang bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas (1970), kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972.
Dalam hal ini, beliau terlibat secara langsung merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975.
Kemudiannya, Allahyarham dilantik ke jawatan Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, di mana jawatan Menteri Dalam Negeri itu dipegangnya sehingga Julai 1981 apabila beliau bertukar ke jawatan Menteri Luar dari Julai 1981-Julai 1984.
Allahyarham juga pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk berperanan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu pada 1975.
Selain itu, peranan beliau yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah menjadi penasihat tetap Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia.
Sesungguhnya sumbangan beliau kepada Negara tidak ternilai.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatasnya - Al Fatihah